VIRAL menerusi laman mikro Twitter memaparkan foto sepasang warga emas yang memakai pakaian warna sedondon sehingga mencetuskan rasa ‘iri hati’ dalam kalangan netizen.
Sepasang suami isteri berasal dari New York, Amerika Syarikat ini menjadi terkenal setelah foto-foto mereka dimuat naik oleh cucu mereka sendiri ke dalam laman sosial berkenaan.
“Saya tidak menjangkakan bahawa Tweet berkaitan datuk dan nenek saya akan menjadi viral,” kata cucu warga emas itu, Anthony Garguilla, 17.

Menurut sebuah laman berita, Ed, 76; dan isterinya Fran, 72; telah berkahwin selama 52 tahun. Pasangan ini terkenal dengan penampilan sedondon dalam kalangan ahli keluarganya.
Jelas laman itu, idea untuk tampil sedondon tercetus selepas pasangan ini menyertai satu pertandingan menari 25 tahun lalu, dan sejak itu mereka memilih untuk mengenakan baju dengan warna sama setiap hari.

Tambahnya lagi, warna kegemaran Ed ialah ‘bumblebee outfit’ iaitu gabungan warna kuning dan hitam yang dipadankan secara berselang seli.
Pasangan warga emas ini membuktikan bahawa golongan tua juga boleh kelihatan romantik, meskipun usia menjangkau separuh abad.
Foto pasangan warga emas ini memakai baju sama warna yang dimuat naik melalui laman Twitter telah menerima likes sebanyak 81 ribu dan di retweet 39 ribu kali. – MYNEWSHUB.CC

