KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan meraikan bayi yang dilahirkan di negeri ini dengan menyediakan insentif RM100 hingga RM500, kata Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.
Tanpa memberikan butiran, beliau berkata bantuan RM100 itu akan diberikan bagi kelahiran anak pertama sehingga keenam manakala anak ketujuh sebanyak RM200, kelapan RM300 dan kesembilan sebanyak RM400.
Bagi kelahiran anak ke-10 dan ke atas pula, bantuan sebanyak RM500 akan diberikan.
“Namun bantuan itu hanya diberikan kepada anak satu ayah dan satu ibu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat kelahiran bayi Merdeka di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Ahmad Razif berkata kira-kira 40 hingga 60 kelahiran sehari direkodkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Sebelum ini, insentif RM100 diumumkan Ahmad Razif ketika membentangkan Bajet negeri 2015 pada Disember 2014.
Mengikut rekod, kerajaan negeri tidak memberi insentif itu dalam bentuk tunai sebaliknya dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN-i. – BERNAMA

