TANGKAK – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut, manakala enam lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di KM148.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Bukit Gambir di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Siti Saratul Syawal maut di lokasi kejadian selepas dipercayai tercampak keluar dari Toyota Avanza berkenaan.
Enam lagi mangsa yang cedera masih belum dikenal pasti identitinya dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II, Musa Kasbullah, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.26 pagi dan sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kenderaan terbabit yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke utara itu dikatakan terbabas ke sebelah kanan iaitu kawasan pembahagi jalan sebelum terbalik.
“Seorang kanak-kanak maut selepas mengalami kecederaan parah dipercayai akibat tercampak keluar. Pihak bomba turut membantu seorang mangsa iaitu wanita dewasa yang belum dikenal pasti identitinya yang kakinya tersepit di bawah kenderaan terbalik itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Musa berkata, kes berkenaan kini dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – BH Online

