KUALA NERUS – Seorang lelaki dikhuatiri hilang manakala rakannya terselamat selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di Pantai Teluk Ketapang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.
Zailan Ibrahim, 29, berasal dari Kelantan hingga kini belum ditemui, manakala rakannya, Mohd Zulkifli Jusoh, 32, berjaya diselamatkan nelayan tempatan selepas dua jam terapung dan berenang menyelamatkan diri.
Difahamkan kedua-dua sahabat berkenaan keluar untuk menangkap ikan kira-kira pukul 10 pagi di kawasan berkenaan namun bot yang dinaiki mereka bocor lalu karam dalam perjalanan pulang.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Rosfarawadi Ismani Ismail berkata insiden itu disedari seorang nelayan tempatan yang melihat Mohd Zulkifli melambai-lambai meminta tolong kira-kira 200 meter dari kawasan daratan.
Katanya sejurus selepas itu nelayan yang berusia 30 tahun berkenaan lantas menghubungi pihak Bomba dan tindakan pantas nelayan tempatan berjaya menyelamatkan mangsa kira-kira pukul 6.30 petang.
Empat puluh satu anggota keselamatan terdiri daripada polis, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut bekerjasama mencari Zailan yang masih hilang.
“Selain melakukan rondaan di air, kami juga membuat rondaan di kawasan pesisir pantai melibatkan jarak kira-kira lima kilometer,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau berkata operasi mencari mangsa diteruskan manakala MOhd Zulkifli dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil. – BERNAMA

