BAGI anda yang mungkin tidak mengenali nama Maria Ozawa secara umum, anda mungkin tertanya-tanya siapakah dia itu?
Dipendekkan cerita, Maria Ozawa sebenarnya ialah pelakon lucah ternama Jepun yang sangat popular di rantau Asia Tenggara terutama negara jiran kita, Indonesia.
Rasanya info ringkas sebanyak itu sudah cukup, tidak perlalah diterangkan apakah anugerah dimenangi atau nama filem lakonannya yang paling terkenal.
Hendak tahu sangat, sila Google sendiri.
Apa yang menarik ialah pada hari ini nama Maria Ozawa secara tiba-tiba timbul di Dataran Merdeka, di ibu negara kita ini.
Ia muncul ketika himpunan haram #Tangkap MO1 berlangsung hampir tiga jam sehingga menjadi sensasi dalam kalangan netizen.
Mungkin ada kalangan peserta perhimpunan itu menganggap sebagai jenaka yakni MO kononnya merujuk kepada Maria Ozawa.


Justeru, gambar yang memperlihatkan MO pun antara yang dibawa bersama ke tempat perhimpunan haram tersebut.
Nampak macam kelakar, tetapi sangat tidak elok apabila perhimpunan itu mengambil pendekatan membuat lawak dengan melibatkan pula nama seorang pelakon lucah.
Nasib baik perhimpunan itu tidak membawa sebarang impak apabila polis dan petugas media dikatakan lebih ramai daripada bilangan peserta.
Persoalannya kini, tidak terfikirkah peserta yang membawa gambar Maria Ozawa bahawa mungkin ada kalangan kanak-kanak yang selama ini tidak pernah dengar nama berkenaan akan pulang dan membuat carian di internet mengenainya.
Pasti mereka akan tertanya-tanya siapakah Maria Ozawa itu.
Apakah hasilnya nanti…
Sudah tentu mereka akan dibawa melihat laman lucah untuk mengetahui identiti wanita misteri itu.
Entah berapa ramai anak muda atau mungkin mereka yang sudah berusia, secara tidak langsung diajar mengenai kewujudan pelakon lucah itu dan laman-laman web lucah berkaitannya yang ada.
Suatu benda yang tidak sepatutnya berlaku dan boleh dielakkan dengan mudah.
Cukuplah dengan mensabitkan nama-mana pemimpin negara secara sinis, pelakon lucah tidak perlu la dibawa masuk walaupun berniat jenaka.
Lain kali, andai mahu bergurau senda pun, biarlah berpada-pada sikit. Jangan kesucian jiwa mana-mana kumpulan manusia dipertaruhkan.
Mungkin ibu bapa perlu lebih berhati-hati lagi selepas ini.
Oleh: Satu Hala