SEPANG – Pingat perak Olimpik yang diraih pemain beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi bapanya, Tan Cham Swe.
Pemilik Akademi Badminton Tawau itu menganggap pingat tersebut sebagai hadiah kepada pengorbanan besar keluarga mereka yang terpaksa berjauhan dengan Wee Kiong selepas mendapat tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sejak berumur 13 tahun.
Wee Kiong yang dilahirkan pada 21 Mei 1989 di Tangkak, Johor, mula memegang raket seawal usia 6 tahun, dan terpaksa berjauhan dengan keluarganya sejak memasuki SSBJ apabila mereka mengambil keputusan berpindah ke Tawau.
“Dia diajar bermain badminton sejak umur 6 tahun kerana saya dapat lihat dia mempunyai bakat. Selepas dia masuk SSBJ, kami pindah ke Tawau dan hanya berjumpanya dua kali setahun.
“Saya memang cukup sayang kepadanya kerana dia boleh berdikari pada usia muda,” katanya pada pemberita ketika menunggu kepulangan anaknya bersama skuad badminton dan terjun negara dari Sukan Olimpik Rio di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Turut gembira dengan pencapaian Wee Kiong ialah adik perempuannya, Tan Yun Ying, 15, yang mahu melihat abangnya muncul juara pada Sukan Olimpik seterusnya di Tokyo pada 2020.
“Saya bangga dengannya dan dialah wira saya…saya sangat gembira dan teruja dia dapat meraih pingat perak,” katanya.
Gandingan Wee Kiong-Goh V Shem meraih pingat itu selepas tewas kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan pada perlawanan akhir di Rio. – BERNAMA