ALOR SETAR – Seorang remaja maut apabila keretanya terbabas ke dalam tali air di Jalan Datuk Kumbar di sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Rohana Omar berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 8.30 pagi yang memberitahu sebuah kereta ditemukan di dalam tali air.
“Pemandu kereta tersebut meninggal dipercayai akibat lemas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pemandunya Muhammad Alif Najmi Morad, 16, datang dari arah Tajar dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Nilam sebelum dipercayai hilang kawalan dan keretanya terbabas masuk ke dalam tali air tersebut.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lukman pula berkata pihak bomba mengeluarkan mangsa dari keretanya pada pukul 9.45 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
Sementara itu rakan mangsa Muhammad Daniel Mohd Yosoff, 16, berkata dia bersama Muhammad Alif serta dua lagi rakan mereka keluar makan dan bersiar-siar di sekitar sini pada pukul 8.30 malam tadi.
Beliau berkata Muhammad Alif kemudian menghantar mereka pulang kira-kira 2.30 pagi sebelum mangsa pulang ke rumah seorang diri.
“Saya ada mendapat panggilan sebanyak dua kali pada pukul 5.13 pagi tadi daripada arwah tapi saya tidak menjawab kerana sedang tidur. Saya tidak menyangka dia kemalangan,” katanya. – BERNAMA

