KUALA NERUS – Negeri Terengganu bebas daripada jangkitan malaria sejak tahun 2013, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Mohammad Omar.
Beliau berkata kejayaan itu juga melayakkan jabatan itu menerima pengiktirafan cemerlang daripada Kementerian Kesihatan pada Mei lalu atas usaha yang dilakukan jabatan selama ini.
“Pelbagai cara dan kempen kami lakukan untuk memastikan penduduk tempatan di Terengganu bebas daripada jangkitan malaria termasuk langkah pencegahan yang ketat terhadap mereka yang disyaki menghidap penyakit itu.
“Kawalan kesihatan yang menyeluruh termasuk penggunaan kelambu berubat turut dilakukan ketika itu termasuk kempen kebersihan secara besar-besaran.
“Cabaran kami di jabatan ketika ini ialah untuk mengekalkan rekod cemerlang membasmi malaria dalam kalangan penduduk tempatan seluruh Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas merasmikan majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2016 peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Katanya sebelum tahun 2013, jangkitan malaria sering berlaku dalam kalangan pendatang asing tanpa izin di Terengganu dan turut menyebarkan wabak itu kepada rakyat tempatan.
“Namun dengan pelbagai kempen yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan ketika ini termasuk saringan ketat terhadap pekerja asing berjaya membantu mengekang jangkitan malaria,” katanya.- BERNAMA