JABAL Nur hanya sebuah gunung dengan ketinggian 200 meter. Terletak enam kilometer di utara Masjidil Haram. Di sekeliling puncak ini, muka buminya bergunung dan berbukit.
Apa istimewa Jabal Nur?
Di sini sejarah Islam bermula. Di puncak Jabal Nur terdapat sebuah gua. Sekitar lima meter di puncak gunung. Gua Hira yang sangat dimuliakan dalam sejarah Islam kerana menjadi tempat Rasulullah menerima wahyu Allah yang pertama melalui Jibrail.
Justeru bagi yang mendaki, inilah pemahaman sejarah yang umum.
Namun, kalau anda seorang isteri, pasti hati lebih tersentuh. Inilah jalan pendakian yang dilalui Saiditina Khatijah setiap kali menghantar makanan pada Rasulullah selama suami tercinta itu berada di Gua Hira.
“Kala mendaki, saya mula menghargai pengorbanan Saiditina Khatijah sebagai isteri. Cinta yang menbawanya ke puncak Jabal Nur,” kata Syafinaz Yunus.
Pada usia 31 tahun, dan sudah berkahwin serta memiliki cahaya mata lelaki, wanita seperti Syafinaz melalui pengalaman lebih nurani sepanjang pendakian dalam kelam subuh.
Syafinaz 31, antara lima kru TV AlHijrah yang bertugas pada Musim Haji 1437. Misi liputan sudah bermula pada 3 Ogos lalu dan berakhir pada 14 September ini.
Allah memberikan pengajaran tambahan. Selain kisah umum perihal kedatangan Jibrail menyampaikan wahyu pertama pada Nabi Muhammad, seorang isteri yang keletihan mendaki Jabal Nur dalam kelam subuh, pasti belajar soal cinta dan kasih sayang.
Sebelum ada iman, apa yang mendorong Saiditina Khatijah begitu setia mengagahi lurah dan keras bebatuan memanjat gunung? Tentulah kerana keajaiban cinta.
Memanjat Jabal Nur, bagi isteri seperti Syafinaz, pasti ada kisah sangat peribadi. Mereka akan berfikir: “Sudahkan kita menyintai suami seperti Saiditina Khatijah menyintai Rasulullah!”
Ikuti momen nurani Duyufurrahman di Instagram @tvalhijrah114.
Liputan Musim Haji 1437 secara Live via IG kini di gajet anda. – MYNEWSHUB.CC

