SENI jalanan semakin mendapat perhatian masyarakat di Malaysia sehingga mendorong sekumpulan pelajar tahun akhir jurusan Pengurusan Acara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam menganjurkan acara ‘Art For Homeless’ bagi mengetengahkan lagi seni tersebut secara meluas kepada orang ramai.
Acara berkonsepkan seni jalanan ini akan diadakan Sabtu ini bertempat di Laman Seni, Seksyen 7, Shah Alam bermula dari jam 10 pagi hingga 11 malam.
Antara aktiviti menarik yang bakal disediakan oleh kumpulan penuntut Koloni Inc ialah pertunjukan melukis grafiti yang akan diketuai oleh pelukis jalanan terkenal, Tok Kura dan Mohammad Amir Amin dari Artomovement.
Selain itu, penuntut jurusan Seni Lukis dari UiTM juga akan membuat demonstrasi seni kraf ‘tie dye’ yang kini semakin mendapat perhatian dan banyak diaplikasikan dalam rekaan baju dan juga bengkel mencanting batik turut diadakan pada hari tersebut.
Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk lebih mendalami seni jalanan agar industri ini dapat dikembangkan secara meluas dan menyeluruh bukan sahaja kepada golongan belia sebaliknya untuk semua golongan peringkat umur di Malaysia. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHARÂÂ