• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Thursday, April 2, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Jalan Tun Razak Berpontensi Menjadi Hab Perubatan

oleh Ahmad Albab
31/07/2016
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Jalan Tun Razak yang dikenali antara jalan tersesak di ibu kota kini dilihat berpotensi menjadi hab perubatan bertaraf antarabangsa berdasarkan kepada kewujudan pelbagai pusat perubatan yang ada di sekitarya.

Umum mengetahui bahawa Jalan Tun Razak dan kawasan sekitarnya menempatkan beberapa pusat perubatan utama seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Pusrawi, Pusat Darah Negara, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Institut Perubatan Respiratori dan Pusat Perubatan Prince Court.

Kawasan berkenaan turut menempatkan klinik kesihatan terbesar di Malaysia dikenali Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) yang dijangka beroperasi pada September ini dan bakal menampung kedatangan pesakit kira-kira 4,000 orang sehari.

Mengulas mengenai hab perubatan itu, Ketua Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd Zain berkata Jalan Tun Razak mampu untuk dibangunkan sebagai hab perubatan kerana pada masa ini kawasan sekitarnya sudahpun menjadi hab perubatan secara ‘semulajadi’.

“Ini kerana, jika diimbas kepada sejarah lalu, semuanya bermula dengan pembinaan HKL dan kemudian wujudnya pusat perubatan seperti IJN dan Pusat Darah Negara yang dibina di atas tanah milik HKL dan secara kebetulan semakin banyak pusat perubatan swasta lain turut dibina di sekitar jalan itu,” katanya.

Beliau berkata hab perubatan ini mampu memainkan lebih banyak peranan dalam merawat pesakit selain memberi lebih peluang kepada mereka untuk mendapatkan pelbagai khidmat pakar klinikal yang mahir dalam bidang masing-masing.

“Sebagai contoh, di Jalan Tun Razak ini kita mempunyai KKKL yang akan merawat kes ringan dan jika memerlukan pesakit itu menemui doktor pakar, mereka boleh berbuat demikian dengan mudah kerana hospital juga berada berdekatan mereka.

“Malah, para pesakit juga boleh memilih sama ada untuk mendapat khidmat pakar dari hospital kerajaan atau swasta yang ada di lokasi sama,” katanya.

Beliau menjangkakan statistik kedatangan pesakit ke fasiliti yang disediakan setiap pusat perubatan juga akan meningkat jika hab perubatan menjadi satu realiti.

Namun, di sebalik potensi menjadi hab perubatan, masih ramai pengguna yang mengeluh apabila perlu berhadapan dengan kesesakan jalan itu terutama pada waktu puncak.

Tinjauan Bernama di sekitar jalan itu turut mendapati ambulans kadangkala menghadapi kesukaran melalui jalan berkenaan kerana masalah kesesakan.

Situasi itu tidak dinafikan oleh Dr. Zaininah, malah beliau berpendapat perlu dilakukan perubahan dan penambahbaikan demi kelancaran trafik yang lebih efisien.

“Kita sebagai pengguna jalan itu perlu bersabar sikit sahaja lagi kerana saya jangkakan keadaan jalan sesak ini dapat diselesaikan selepas siapnya laluan khusus menghubungkan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) fasa dua pada hujung tahun ini dan projek MRT laluan dua (MRT 2) pula pada 2022.

“Selepas selesainya masalah kesesakan jalan di sini nanti, orang ramai boleh menggunakan pengangkutan awam dengan lebih selesa dan cepat terutama bagi mereka yang ingin menggunakan bas dan MRT untuk ke pusat perubatan di sekitar Jalan Tun Razak,” katanya.

Sementara itu, dengan mengambil kira kepentingan dan keupayaan jalan itu menjadi hab kesihatan, Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd Najib Mohd berkata DBKL bersedia untuk memainkan peranannya jika ada perancangan bagi mewujudkan hab seperti itu.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk mewujudkan hab kesihatan ini kerana sebarang perancangan berkaitan pelaksanaan hab ini hanya boleh dilakukan oleh Kementerian Kesihatan.

“Jika kementerian ingin melaksanakan projek ini pada masa hadapan, DBKL bersedia memainkan peranannya dalam meningkatkan infrastruktur seperti jalan masuk dan aliran trafik di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, hab kesihatan tidak mustahil jika ingin diwujudkan seiring dengan perkembangan jaringan hubungan pengangkutan awam seperti perkhidmatan MRT 2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang turut melibatkan kawasan sekitar Jalan Tun Razak.

“Pihak MRT sebelum ini telah memaklumkan akan memulakan pembinaan laluan MRT 2 pertengahan tahun ini dengan membina beberapa laluan bawah tanah yang menghubungkan stesen MRT baharu termasuk Stesen Hospital Kuala Lumpur yang akan dibina berhadapan dengan Istana Budaya dan ia dijangka memulakan operasi pada 2022,” katanya.

Selain itu katanya, pembangunan Jalan Tun Razak bukan sahaja berpotensi sebagai hab perubatan, malah ia mampu menjadi antara lokasi utama kepada orang ramai yang ingin mengunjungi pusat seni dan budaya serta riadah seperti Istana Budaya, Balai Seni dan Taman Tasik Titiwangsa. – BERNAMA

Tags: jalanJalan Tun Razak
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Raptai ASEAN-GCC: Jalan Sesak Akibat Ditutup

Raptai ASEAN-GCC: Jalan Sesak Akibat Ditutup

21/05/2025
0

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar ibu negara ditutup sempena raptai Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) 2025. Antara jalan...

RM1.8 Bilion Diperuntuk Selenggara Jalan Tahun Ini

RM1.8 Bilion Diperuntuk Selenggara Jalan Tahun Ini

20/08/2022
0

Sebanyak RM1.08 bilion diperuntukkan bagi kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd