IPOH – Dua beradik dari Manjung disyaki dijangkiti difteria selepas mengalami simptom demam, sakit tekak dan batuk, kata Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Juita Ghazalie.
Beliau berkata kanak-kanak berumur dua tahun dan 17 bulan itu dimasukkan ke Hospital Seri Manjung pada Isnin lepas.
“Sampel daripada kedua-dua mereka telah di hantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur dan keputusannya dijangka diketahui esok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Aedes Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati dua beradik itu telah menerima suntikan imunisasi dan pihak hospital kini memantau keadaan kesihatan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata kes demam denggi di Perak menurun kepada 2,409 kes sehingga 23 Julai ini, berbanding 6,351 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
“Sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan sehingga 23 Julai ini berbanding 16 kematian tempoh sama tahun lepas.
“Hanya satu lokasi hotspot wabak yang masih aktif di Perak iaitu di Cherry Apartment, Ipoh,” katanya.
Menurut Dr. Mah, Pejabat Tanah dan Galian telah mengeluarkan notis kompaun kepada 38 buah rumah kediaman dan 19 daripadanya telah membayar kompaun.
Katanya pemilik kediaman yang dikenakan kompaun diberi tempoh sehingga September ini untuk menjelaskannya dan sekiranya gagal berbuat demikian, kediaman mereka akan disita. – BERNAMA