KUALA KANGSAR – Sebagai usaha untuk memastikan penduduk Kuala Kangsar tidak ketinggalan dalam apa jua bidang, lima agenda akan diberi fokus oleh Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.
Mastura, 55, yang memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun lepas berkata lima agenda itu adalah bidang pendidikan, memperkasa sektor pelancongan, mewujudkan pusat jagaan harian warga emas, menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan belia serta melestarikan kehidupan golongan wanita.
“Saya akan berusaha sedaya upaya membuat yang terbaik demi masa depan dan kebaikan penduduk Kuala Kangsar yang telah memberi sokongan yang amat baik kepada Barisan Nasional (BN) sehingga mencapai kemenangan yang sangat memberangsangkan.
“Mengenai sektor pelancongan di Kuala Kangsar, saya belum berjumpa dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) untuk mengadakan perbincangan bagi memajukan produk pelancongan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie serta wakil enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Kangsar di sini, hari ini.
Mastura berkata beliau akan menyediakan pelan yang lebih bersepadu bagi merealisasikan kesemua agenda tersebut seterusnya dapat memenuhi permintaan penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya tidak mahu apa juga pembangunan atau projek yang dibawa ke sini menjadi ‘gajah putih’ dan akhirnya ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk di sini.
“Saya akan mengadakan lebih banyak pertemuan dan berbincang dengan penduduk di sekitar Kuala Kangsar untuk mengetahui dengan lebih mendalam apa yang mereka inginkan,” katanya.
Dalam PRK Kuala Kangsar 18 Jun lalu, Mastura mengalahkan tiga lagi calon iaitu daripada PAS, PAN dan Bebas dengan majoriti 6,969 undi.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu yang juga suami Mastura, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. – BERNAMA