JENAZAH pakar motivasi terkenal, Prof. Izzi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, jam 9 pagi tadi.
Lebih 200 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham. Jenazah Prof Izzi atau nama sebenarnya Prof. Madya Md. Izuddin Ali dimandikan di rumahnya sebelum disembahyangkan di Masjid Syarifah Fatimah, Jitra, Kedah petang semalam.
BACA: Prof. Izzi Haji Ali Meninggal Dunia Ramadan Ke-19
Jenazah kemudiannya dibawa ke  ke rumah kakak sulung allahyarham, Zaleha Ali, 55, di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu kira-kira 4.30 pagi tadi.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat strok kira-kira 12.45 tengah hari pada Jumaat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah.
Difahamkan, allahyarham pada mulanya jatuh selepas selesai solat di sebuah masjid sebelum dibawa ke hospital pada 13 Jun lalu.
Suatu ketika dahulu allahyarham sangat popular dengan tagline ‘renung-renungkan dan selamat beramal’ menerusi segmen tazkirah di radio Hot FM.
Selain pakar motivasi, allahyarham merupakan bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis. – MYNEWSHUB.CC