KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah berjaya membawa agensi penguat kuasa itu ke peringkat lebih cemerlang sejak transformasi daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak yang menyatakan perkara ini berharap lebih ramai pegawai cemerlang akan dapat dilahirkan bagi mengikut jejak langkah Abu Kassim di SPRM.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya dan setinggi tahniah serta penghargaan kepada Tan Sri Abu Kassim sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Salleh turut mengucapkan tahniah kepada Abu Kassim atas pelantikannya sebagai Pakar Jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA) mewakili kerajaan Malaysia, yang merupakan satu pengiktirafan dan testimoni kepada kesungguhan kerajaan melalui SPRM untuk membanteras jenayah rasuah di peringkat antarabangsa.
“Pelantikan ini adalah satu pernyataan kepada kesungguhan kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa apatah lagi IACA turut diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu,” katanya.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan semalam memaklumkan Abu Kassim, 55, tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini, seperti dimohonnya.
Sementara itu, Abu Kassim dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam menegaskan bahawa tiada tekanan daripada mana-mana pihak untuk beliau memendekkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya berakhir pada 4 Dis 2018.
Sebaliknya, beliau berkata ia merupakan permohonan kali ketiga dibuatnya bagi mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya dan kali ini diluluskan oleh kerajaan.
Abu Kassim yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Jan 2010 telah terlibat dalam proses pembangunan SPRM sehingga mengangkat nama dan martabat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berkaliber.
Beliau memulakan kerjayanya dengan BPR setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 dan sejak itu, meniti pelayaran kerjaya 30 tahun bersama BPR, yang kemudiannya dikenali sebagai SPRM mulai 1 Jan 2009. – BERNAMA