KUALA TERENGGANU – Sebanyak 115 premis tumpuan awam termasuk hotel dan pasar raya di seluruh Terengganu akan diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri sebelum dan sepanjang musim perayaan ini.
Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata langkah itu bertujuan memastikan sistem keselamatan kebakaran dan peraturan dipatuhi semua premis terbabit dan berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya pemeriksaan yang mula dilaksanakan 6 Jun lalu melibatkan 65 pusat membeli belah, 25 hotel, 10 restoran dan 15 dewan serbaguna.
“Pada musim perayaan, kawasan seperti itu menjadi tumpuan orang ramai dan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini, pemeriksaan secara berperingkat dilaksanakan termasuk laluan kecemasan di setiap premis,” katanya kepada Bernama.
Azlimin berkata sepanjang sembilan hari berpuasa, sebanyak enam kes kebakaran rumah dan bangunan telah direkodkan.
Beliau tidak menolak kemungkinan kes kebakaran dan kemalangan ini akan meningkat pada musim perayaan yang kebanyakannya berpunca daripada kelalaian manusia.
Selain itu, faktor pendawaian elektrik, permainan mercun serta penggunaan barangan elektrik juga boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku jika tidak diawasi.
Azlimin berkata sepanjang musim perayaan ini, hanya 20 peratus daripada 600 pegawai dan anggota operasi dibenarkan bercuti bagi melancarkan operasi sekiranya berlaku kes kecemasan.
“Mereka yang lain akan bertugas seperti biasa sebelum bergilir-gilir bercuti…ini kerana fokus kita bukan sahaja kepada kes kebakaran malahan kes kemalangan jalan raya serta kecemasan yang lain,” katanya. – BERNAMA

