SUNGAI BESAR – Cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengenakan Caj Abstraksi Air bagi kegunaan aktiviti akuakultur di negeri ini disifatkan tidak masuk akal.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ini kerana caj yang bakal diperkenalkan itu boleh membebankan pengusaha dan menyebabkan mereka gulung tikar.
“Saya difahamkan caj tersebut dikenakan mengikut per hektar untuk satu kawasan ternakan. Kebanyakan pengusaha menyifatkan caj baharu tersebut tidak masuk akal dan membebankan serta boleh menyebabkan mereka gulung tikar kerana terpaksa menanggung kos operasi dan saingan yang tinggi,” katanya.
Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pengusaha industri akuakultur negeri Selangor yang dihadiri 50 pemain industri itu di Sungai Besar serta turut mendengar pelbagai isu yang ditimbulkan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Irmohizam Ibrahim.
Ahmad Shabery berkata kerajaan negeri sewajarnya berbincang dan memberi penjelasan mengenai cadangan itu kepada pihak berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kerajaan negeri sepatutnya menjelaskan perkara itu atau sekurang-kurangnya mencari jalan untuk mendapat keadaan menang-menang antara penternak dan kerajaan negeri agar tidak terkesan dengan peningkatan kos pengeluaran,” katanya.
Sebelum ini, cadangan kerajaan negeri untuk mengenakan caj jeti pendaratan dan tambatan bot-bot nelayan menimbulkan kegusaran dalam masyarakat nelayan yang turut memohon campur tangan kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Kerajaan Selangor menerusi Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengeluarkan cadangan untuk mengenakan caj jeti pendaratan dan tambatan bot sebanyak RM600 setahun ke atas hampir 6,000 nelayan di negeri ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata sebagai contoh sekiranya pengusaha perlu membayar RM1 untuk satu meter kawasan penternakan, dan sekiranya kawasan tersebut luas dan besar, bayaran caj berkenaan boleh mencecah RM10,000 dan sekali gus pengusaha akan menaikkan harga barang dan membebankan pembeli.
Katanya sekiranya caj itu tetap dilaksanakan, beliau bimbang berhubung masa depan golongan berkenaan dan sekaligus industri akuakultur di negeri itu akan pupus dan akan ada pihak yang hilang punca rezeki.
Menurut Ahmad Shabery kerajaan negeri sepatutnya mencari jalan untuk membantu menambah pendapatan golongan pemain industri di negeri ini, selaras dengan slogan mereka iaitu ‘hasil negeri untuk rakyat’.
“Pengusaha merungut memberitahu saya, sudahlah menanggung pelbagai kos termasuk kos benih ikan, sekarang ini kos baharu yang timbul adalah kos air.
Mereka (pengusaha) bila mulakan usaha tidak melihat air ini adalah sebagai kos. Kita harap pihak kerajaan Selangor dapat mempertimbangkan balik cadangan tersebut,” katanya.
Di Selangor terdapat 1,037 penternak dengan pengeluaran 26,143 tan metrik ikan bernilai RM270.28 juta. Sabak Bernam mempunyai 379 penternak dan menyumbang 971 tan metrik ikan.
Kawasan Parlimen Sungai Besar mempunyai 176 penternak atau 47 peratus daripada bilangan penternak di daerah Sabak Bernam mengusahakan ternakan akuakultur seluas 1,331.42 hektar.
Kawasan itu menghasilkan 353 tan metrik ikan melalui ternakan sistem kolam air tawar, payau, sangkar, ternakan kerang dan tangki simen. – BERNAMA