KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menunaikan solat Jumaat di Surau At-Taqwa, Setapak di sini sempena perasmian surau baharu itu.
Najib tiba pada pukul 1.25 tengah hari dan menyertai lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan. Solat Jumaat diimamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Surau At-Taqwa yang dibina semula dengan kos RM4.5 juta mampu menampung 1,500 jemaah berbanding sebelum ini kurang daripada 1,000 jemaah.
Pada majlis itu, Najib mendatangani plak sebagai simbolik perasmian dan turut menyampaikan sumbangan zakat daripada UDA Holdings Berhad kepada 500 golongan asnaf dari Parlimen Wangsa Maju.
Turut hadir Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Mohd Shafei Abdullah dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Sementara itu, Pengerusi Surau At-Taqwa Datuk Azmi Che Mat berkata, pembinaan semula surau berusia 41 tahun itu bermula Ogos 2013.
Azmi berkata surau berkenaan mula digunakan semula untuk solat pada 1 Feb lalu.
“Pihak surau berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan permohonan menaik taraf dan meluaskan kawasan surau berikutan pertambahan penduduk Islam di kawasan ini.
“Ini menjadi satu detik bersejarah dan kebanggaan kepada masyarakat setempat yang dapat beribadat dengan lebih selesa selepas ini,” katanya kepada Bernama.
Antara kemudahan surau tiga tingkat itu ialah dewan utama solat, ruang bacaan, pejabat, bilik mesyuarat dan bilik mandi jenazah. – BERNAMA