KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Kawalan Selat Melaka (MSP) sejak April 2006 bagi menjalankan rondaan keselamatan di Selat Melaka berjaya menjaga keamanan di perairan itu daripada ancaman rompakan dan aktiviti pelanunan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penurunan kes rompakan dan pelanunan yang ketara telah direkodkan sejak MSP dilaksanakan iaitu hanya 37 kes sepanjang 2006 hingga 2015, berbanding 186 kes sepanjang tahun 2000 hingga 2005.
“Bagi tahun 2016 sehingga bulan Mei, tiada sebarang kejadian dilaporkan,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
MSP yang dianggotai Malaysia, Singapura dan Indonesia, dikoordinasi oleh Angkatan Tentera setiap negara anggota melalui jawatankuasa, akan menjalankan rondaan di dalam wilayah maritim negara masing-masing secara berterusan.
Katanya, langkah lain bagi menjaga keselamatan di Selat Melaka juga termasuk melaksanakan pengawasan ruang udara di kawasan Selat Melaka di bawah inisiatif ‘Eyes in the Sky’, yang melibatkan rondaan bersama negara-negara anggota dalam satu pesawat.
“Untuk pengoperasian ini, sebanyak 28 penerbangan telah diatur gerak setiap bulan secara bergilir antara negara-negara anggota,” katanya.
Hishammuddin berkata kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keselamatan di Selat Melaka memandangkan perairan itu merupakan laluan penting bagi kapal-kapal komersial seluruh dunia.
Katanya, tahun lepas sebanyak 80,959 kapal melalui Selat Melaka berbanding 55,957 kapal pada tahun 2000, manakala setakat Mei tahun ini sahaja, sebanyak 34,885 kapal direkodkan melalui selat berkenaan.
Ketika ditemui di lobi Parlimen, Hishammuddin juga menyeru pihak swasta dan negara lain yang menpunyai kepentingan turut menyumbang usaha dalam membantu Malaysia menjaga keamanan di Selat Melaka.
Beliau berkata Selat Melaka telah dikeluarkan daripada senarai zon risiko perang oleh Persatuan Pasaran Lloyd melalui Joint War Committee pada 2006. – BERNAMA
![PRU15: [RASMI] Hishammuddin Menang Di Sembrong](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2022/11/WhatsApp-Image-2022-11-19-at-23.26.26.jpeg)
