KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis akan mempastikan syarat yang membenarkan peniaga dan individu menjalankan perniagaan di rumah memiliki permit daripada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dikuatkuasakan sepenuhnya.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata syarat itu yang membabitkan peniaga di kawasan kampung dan kawasan perumahan diperkenalkan tahun lepas namun tidak dilaksanakan dengan serius.
“Mulai tahun ini saya mahu syarat ini dikuatkuasakan bagi memastikan premis mereka sentiasa bersih selain tidak mengganggu jiran,” katanya kapada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan 2016 berjumlah RM212,000 kepada 1,460 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Mata Ayer di Masjid As-Sobirin, Gial, di sini, hari ini. – BERNAMA

