GHANA akan mengharamkan penjualan barangan dan produk import pemutih kulit ke dalam negaranya bermula Ogos ini, berikutan penggunaan bahan kimia pemutih yang berbahaya kepada pengguna.
Kebanyakan produk pemutih mengandungi Hydroquinone yang berbahaya kepada kulit kerana boleh menyebabkan masalah kulit gatal, menggerutu dan tidak sekata selain mengakibatkan kanser kulit.
Di Ghana, 70 peratus penduduk wanita mengakui menggunakan produk pemutih kulit untuk tampil cantik dan berseri.
Permintaan yang tinggi terhadap produk tersebut turut membawa masalah sosial apabila masyarakat mula mendiskriminasikan penduduk yang masih berkulit gelap gara-gara tidak menggunakan produk kecantikan.
Menerusi pengharaman itu, pihak berkuasa Ghana berharap penduduknya tidak lagi obses dengan produk pemutih kulit yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan mereka. – MYNEWSHUB.CC