YAN – Premis makanan yang beroperasi sepanjang bulan Ramadan diingat supaya tidak melakukan penipuan berhubung perakuan sijil halal yang sah bagi memastikan makanan yang dijual tidak diragui oleh umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata isu halal menjadi keutamaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana semasa Ramadan terdapat pelbagai jenis makanan akan dihidangkan kepada pengguna Islam untuk berbuka puasa.
Walau bagaimanapun, Jamil Khir berkata dalam isu memperoleh sijil halal adalah atas sukarela pihak premis makanan berkenaan dan tidak bersifat wajib kerana terdapat kekangan tertentu dalam konteks pasaran yang perlu diambil kira. – BERNAMA

