SEORANG gadis meninggal dunia setelah diseksa dan dibakar hanya kerana menolak lamaran anak lelaki bekas rakan sekerjanya, di Pakistan semalam.
Menurut ahli keluarga dan pihak polis, Maria Sadaqat, 19, diserang di kampung Upper Dewal berhampiran kawasan peranginan Murree, Islamabad.
“Dia diseksa dengan teruk dan kemudian dibakar hidup-hidup. Kami membawanya ke hospital namun dia tidak dapat diselamatkan,” kata bapa saudaranya, Abdul Basit.

Susulan kejadian ini keluarga mangsa mengadakan bantahan sambil menangis di luar Institut Sains Perubatan Pakistan, semasa pihak polis membawa keluar jenazah mangsa untuk dibedah siasat di sebuah lagi hospital.
Menurut Basit, anak saudaranya diserang oleh guru besar sebuah sekolah swasta di mana Maria bekerja sebagai seorang guru sebelum ini.
“Anak buah saya menolak lamaran tersebut kerana lelaki itu sudah bercerai dan berusia dua kali ganda daripadanya. Maria juga meletakkan jawatan setelah didesak berkali-kali supaya menerima lamaran tersebut,” tambahnya.
Laporan hospital mengatakan Maria meninggal dunia kerana mengalami lecur yang teruk di sebahagian tubuhnya. – MYNEWSHUB.CC

