INCHEON – Walaupun kurang persiapan dari segi latihan, namun juara bertahan acara badminton Perseorangan Lelaki SU5, Cheah Liek Hou mengekalkan prestasi cemerlang apabila berjaya meraih pingat emas Sukan Para Asia di Gimnasium Gyeyang hari ini.
Cheah menewaskan lawan dari Indonesia, Oddie Kurnia Dwi Listyanto dengan mata 21-8 dan 21-11 untuk mengesahkan pingat emas tersebut.
“Syukur kerana dapat mengekalkan kejuaraan di Incheon selepas temasya sama di Guangzhou. Sebelum saya ke Incheon saya memang tidak banyak menjalani latihan atas alasan kerja.
“Sepatutnya saya kena hadiri latihan tiga kali seminggu tapi terpaksa ikuti pada hari Sabtu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Cheah berkata sebaik sahaja tiba di Incheon pada 13 Okt, beliau cuba membiasakan diri dengan gelanggang dan mengumpul tenaga bagi memastikan kemenangan.
Bukan sahaja berjaya mengekal kejuaraan acara perseorangan, Cheah yang bergandingan dengan Suhaili Laiman dalam acara Beregu Lelaki SL3-4/SU5, sekali lagi menyamai pencapaian di Guangzhou dengan meraih pingat emas.
Namun begitu, pasangan beregu negara itu terpaksa bertungkus lumus sebelum menundukkan gandingan India, Raj Kumar dan Rakesh Pandey dengan catatan mata 11-21, 21-11 dan 21-13.
Mengulas tentang perlawanan hari ini, Suhaili berkata pada set pertama perlawanan bermula dengan agak perlahan dan pihak lawan menampilkan saingan sengit.
“Walaupun saya hanya sempat buat latihan dalam masa lebih sebulan sahaja, tapi melihat kepada kejayaan hari ini, ia berhasil,” katanya yang bakal menamatkan khidmat sebagai atlet atas faktor usia.
Suhaili, 52, berkata beliau mula bergandingan bersama Cheah sejak 2002. – BERNAMA