SUDAH empat hari berlalu, namun kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditinggalkan di kawasan pergunungan yang dihuni oleh beruang di Jepun, oleh ibu bapanya sebagai hukuman, masih belum ditemui.
Seramai 180 pasukan mencari dan menyelamat dikerahkan untuk mencari Yamato Tanooka di Pulau Hokkaido. Nasib kanak-kanak berkenaan kini menjadi kebimbangan utama apatah lagi dia tidak mempunyai makanan dan minuman selain hujan.
Ibu bapa Yamato sebelum ini memberitahu polis bahawa anak mereka itu sesat ketika mendaki di kawasan berkenaan pada Sabtu namun selepas hari kedua pencarian dilakukan, barulah mereka mengaku bahawa mereka meninggalkannya di situ sebagai pengajaran kepadanya.
Mereka marah disebabkan Yamato membaling batu ke arah kenderaan dan orang ramai. Ketika dalam perjalanan pulang, ibu bapanya telah memaksa Yamato keluar dari kereta dan meninggalkannya sendirian.
Selepas memandu sejauh 500 meter, mereka berpatah balik namun kanak-kanak tersebut tiada lagi di situ.
“Saya amat kesal. Saya minta maaf kerana menyusahkan ramai,” kata bapanya kepada wartawan NTV.
Pengakuan berkenaan mencetuskan kemarahan penduduk Jepun yang menyifatkan perbuatan itu bukannya hukuman sebaliknya satu penderaan.
Sementara itu, jurucakap bagi penduduk di Nanae, Mitsuru Wakayama, berkata hanya penduduk tempatan mengetahui laluan di kawasan pergunungan itu untuk dijadikan jalan pintas.
“Bukan semua orang melaluinya dan ia sangat gelap pada waktu malam kerana tiada lampu.Tidak mengejutkan jika bertemu beruang di kawasan berkenaan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

