SEREMBAN – Sebanyak 18 pengusaha tanaman nangka di negeri ini akan membekalkan antara 10,000 dan 12,000 pek buah nangka seminggu ke lapan rangkaian Giant Hypermarket di Singapura mulai bulan depan.
Nilai eksport nangka jenis J33 yang mendapat permintaan tinggi di pasaran Singapura itu dianggarkan bernilai RM4.5 juta setahun, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan kursus peningkatkan produktiviti dan kualiti nangka Negeri Sembilan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara FAMA Negeri Sembilan dengan Persatuan Penanam Nangka Negeri Sembilan bagi mengeksport nangka ke pasaran Singapura.
Pada majlis itu, FAMA Negeri Sembilan diwakili oleh Timbalan Pengarah (Operasi), Shafie Harith manakala persatuan itu diwakili oleh pengerusinya, Brig Jen (B) Datuk Shahbani Ali.
Ahmad berkata tempoh perjanjian yang melibatkan 18 pengusaha tanaman nangka itu adalah selama enam bulan mulai 1 Jun ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata di bawah Program Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sejumlah 36 usahawan telah didaftarkan di negeri ini dengan keseluruhan keluasan 224 hektar bagi tanaman nangka.
“Lokasi utama tanaman nangka adalah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Gemas dan TKPM Bemban (Jelebu),” katanya.
Mengenai kursus peningkatan produktiviti dan kualiti nangka, beliau berkata ia bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada pihak pengeluar berkaitan aspek varieti dan kualiti yang dikehendaki oleh pasaran serta meningkatkan produktiviti melalui kaedah agronomi dan pengendalian lepas tuai yang berkesan.
Selain itu, kursus itu juga diadakan bagi mengumpul maklumat terkini pengeluar dan keluasan tanaman nangka secara komersil di Negeri Sembilan sebagai persediaan pemasaran ke luar negara. – BERNAMA