KUALA LUMPUR – Sehingga bulan ini, seramai 79,714 pengguna telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dengan hanya melayari portal www.1mtc.gov.my untuk tempahan, maklumat dan pertanyaan.
1MTC merupakan satu daripada insiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diwujudkan bagi mengoptimumkan penggunaan Institusi Latihan Awam (ILA) kepada rakyat.
Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Seri Zainal Rahim Seman dalam satu kenyataan berkata sehingga kini, terdapat 343 buah ILA di seluruh Malaysia yang menawarkan kemudahan serta bilik penginapan yang boleh ditempah oleh orang awam, sektor swasta, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Mengenai rangkaian telekomunikasi bersepadu 1GovNet khusus untuk sektor awam dan diuruskan secara berpusat oleh MAMPU, beliau berkata sehingga April lepas, sebanyak 10,704 talian telah dipasang dengan talian 1GovNet.
“Daripada jumlah tersebut, 7,871 talian mempunyai kapasiti dua megabit per saat (Mbps) dan ke atas. Terdapat 24 lokasi Institut Latihan Perindustrian (ILP) disambungkan dengan talian 1GovNet di seluruh Malaysia dengan kelajuan antara enam Mbps hingga 10 Mbps,” katanya.
Beliau berkata terdapat 10 Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang disambungkan dengan talian 1GovNet di seluruh negara dengan kelajuan enam Mbps hingga 30 Mbps.
Katanya UTC Sabah telah dilengkapi dengan talian berkapasiti 20 Mbps pada 26 Jan 2015 yang dikongsi oleh 11 agensi antaranya Klinik 1Malaysia, Biro Pengaduan Awam, Jobs Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
MAMPU juga telah mengadakan program turun padang di ILP Kota Kinabalu dan UTC Sabah hari ini untuk meninjau tahap pencapaian projek 1MTC dan rangkaian 1GovNet yang disediakan.
Sesi turun padang ringkas itu membolehkan perkongsian maklumat dan mendapat gambaran sebenar perkhidmatan yang disediakan di dua kawasan yang dikunjungi dan mendengar sendiri maklum balas daripada rakyat. – BERNAMA