JOHOR BAHRU – Tempoh reman pemilik kedai aksesori kenderaan berikutan penemuan pistol dan peluru dalam kenderaan pacuan empat roda pemain bola sepak Safee Sali, yang dipandunya disambung seminggu lagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamarul Zaman Mamat berkata, tempoh reman dari Ahad lalu itu hingga hari ini, dilanjutkan sehingga 28 Mei.
Pada 15 Mei lalu, polis menemukan sepucuk pistol dan 30 butir peluru dalam kenderaan Safee dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam sekatan jalan raya di susur keluar Kempas, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini.
Ketika itu, kenderaan berkenaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga pemilik kedai aksesori kenderaan.
Menurut polis, Safee sebelum itu menghantar kenderaannya ke kedai suspek untuk diubah suai dan dijadualkan mengambilnya semula pada 14 Mei selepas perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan PKNS FC. – BERNAMA

