MELAKA – Karnival Mesra Rakyat merupakan platform penting bagi meningkat dan merapatkan hubungan antara pemimpin, pegawai serta agensi kerajaan dengan masyarakat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata penganjuran karnival tiga hari yang berakhir malam tadi di Alai di sini, adalah selaras dengan inisiatif kerajaan mengekang usaha memisah atau merosakkan hubungan baik rakyat dengan kerajaan.
“Pelbagai manipulasi daripada pihak tidak bertanggungjawab dilakukan di media sosial termasuk pergerakan merekrut serta menghasut rakyat agar menentang kerajaan.
“Media sosial turut digunakan untuk menyebar pelbagai propaganda dan fitnah selain menghasut dengan mengemukakan gambar, statistik dan bukti yang telah dimanipulasi supaya ia kelihatan sahih,†katanya ketika menutup karnival itu malam tadi.
Idris berkata antara isu yang dimanipulasi termasuk subsidi, harga minyak, Bantuan Rakyat 1Malaysia, cukai barangan dan perkhidmatan serta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara.
Beliau berkata semua isu berkenaan dilihat boleh merenggangkan hubungan antara kerajaan dan rakyat sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Karnival anjuran Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi dan Multimedia (JKPKKMM) Melaka disertai agensi di bawah kementerian itu, antaranya Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, TM, Pos Malaysia dan Bernama.
Lebih 5,000 orang mengunjungi karnival yang menampilkan 20 gerai pameran agensi kerajaan serta swasta dan turut menampilkan pelbagai acara menarik seperti konsert dan pertandingan. – BERNAMA

