PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga mematahkan cubaan menyeludup 6,900 liter minyak diesel bernilai lebih RM12,000 ke luar negara, di dalam sebuah bot kargo di Terusan Semerak, Tok Bali di sini.
Pegawai Pemerintah pasukan itu, Insp Nik Ali Nik Mat berkata dalam serbuan pukul 11 pagi semalam, pihaknya turut menahan 14 orang awak-awak dan seorang tekong warga Vietnam bersama bot kargo itu yang bernilai RM1.2 juta.
“Ketika pemeriksaan dibuat oleh tujuh anggota Polis Marin, awak-awak dan tekong yang berumur antara 15 dan 65 tahun itu gagal menunjukkan dokumen yang sah,” katanya kepada pemberita di Pangkalan PPM Tok Bali di sini, malam tadi.
Nik Ali berkata minyak berkenaan yang diisi ke dalam 230 tong dipercayai dibeli di Kemaman, Terengganu untuk dijual sama ada di Thailand atau Vietnam.
Katanya pemeriksaan turut menemui sejumlah besar sotong segar disyaki dibeli daripada nelayan tempatan untuk dijual di Vietnam yang mendapat harga berlipat ganda.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala bot berkenaan diserahkan kepada Jabatan Laut untuk tindakan lanjut, katanya.
Nik Ali berkata nelayan warga asing itu dipercayai singgah di Tok Bali dalam cubaan untuk menyeludup haiwan liar (eksotik).
Pada awal April lepas, PPM Wilayah Tiga menahan empat lelaki dan merampas sejumlah besar haiwan liar (eksotik) bernilai RM1.5 juta dipercayai cuba diseludup ke negara jiran yang mendapat permintaan tinggi. – BERNAMA

