KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi pengampunan kepada seramai 84 bekas pemain yang pernah digantung kerana skandal rasuah pada tahun 1994.
Baginda mempersoalkan sama ada FAM mengambil kira kesan masa panjang terhadap sukan bola sepak tanah air apabila dengan mudah memberi pengampunan kepada pemain yang terlibat dengan gejala rasuah.
“Bagaimanakah ia akan menjadi pengajaran kepada pemain generasi baharu? FAM seharusnya tegas dengan pendirian asal dan tidak memberi muka kepada pesalah-pesalah tersebut.
“Bola sepak pada masa kini sudah mula menuju ke kancah kegemilangan, tetapi tindakan ini seolah-olah membenarkan gejala rasuah kembali bertapak semula dalam sukan ini,” titah baginda dalam satu kenyataan semalam.
Pada tahun 1994 negara digemparkan dengan skandal rasuah apabila lebih 100 pemain serta jurulatih disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat.
Akhirnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengjatuhkan hukuman dibuang daerah kepada 26 pemain di bawah Akta Kediaman Terhad manakala 57 pemain serta seorang penolong jurulatih digantung penyertaan antara setahun hingga lima tahun di bawah Lembaga Disiplin FAM.
Antara nama-nama besar yang terpalit dengan skandal ini adalah Matlan Marjan, Azizol Abu Haniffah, Faridzuan Che Hamid, Karim Pin, P. Ravindran dan lain-lain lagi.
FAM kelmarin bagaimanapun menerima rayuan-rayuan 84 bekas pemain yang pernah digantung kerana skandal rasuah 1994 terbabit dan keputusan itu disambut baik Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kedah (KEFA).
“Pemain tidak lagi akan dihantui perasaan takut disebabkan yakin mampu mendapatkan pengampunan suatu masa nanti,” titah baginda lagi. – MYNEWSHUB.CC

