KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 13 Mei ini bagi membincangkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kedua-dua kerusi itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 6 petang semalam.
“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka dan bagi mengisi kekosongan kerusi P.067 Kuala Kangsar dan P.093 Sungai Besar, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Kekosongan itu berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lepas.
Menurutnya mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah selaku Pengerusi SPR. – BERNAMA

