KANGAR – Empat lelaki warga asing dituduh di Mahkamah Majistret Kangar hari ini kerana melakukan penyeludupan migran di Wang Kelian, Kaki Bukit di sini, tahun lepas.
Tertuduh ialah Shahidullah @Syahidullah, 18, dan Momotin @Dus Mohamad, 19, kedua-duanya warganegara Myanmar; Biau Wong Chumpo, 46, warga Thailand dan Nurul Islam, 32, warga Bangladesh.
Kesemua mereka hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Burma, Thai dan Bangladesh oleh tiga jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim.
Shahidullah dan Momotin didakwa menyeludup migran bernama Mohd Belal rakyat Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sini, pada 5.30 pagi antara Ogos 2014 dan 10 Mac 2015.
Biau pula didakwa menyeludup Md Tifajir Husin, warga Bangladesh, pada 1.30 pagi antara Oktober 2014 dan 2 Mei 2015.
Nurul didakwa atas tiga pertuduhan melakukan penyeludupan migran terhadap tiga rakyat senegaranya iaitu Bangladesh di Bukit Genting Perah, Wang Kelian.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Mohamad Nurbasya, jam 4 petang antara Oktober 2014 dan 3 Mei tahun lepas.
Pertuduhan kedua, dia didakwa menyeludup Delwar antara Oktober 2014 dan April 2015, manakala pertuduhan ketiga dia dituduh menyeludup Joy, pada 4 pagi antara November 2014 dan 3 Mei 2015.
Mereka berempat didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Afzainizam Abdul Aziz dan Nadia Zulkefli manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

