HAJAT Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad untuk melihat anak keduanya, Wan Imar Izzat naik pelamin pada Ogos depan tidak kesampaian.
Menurut isteri Allahyarham, Datin Mastura Mohd Yazid, arwah suaminya begitu teruja untuk majlis tersebut sehingga mahu mereka bentuk sendiri pelamin untuk hari bahagia anak kedua mereka itu.
Memetik Sinar Online, Mastura berkata, “Arwah berhajat membuat pelamin untuk majlis persandingan anaknya. Beliau beriya-iya mahu membuatnya, mungkin disebabkan kami bakal menerima menantu pertama.”
“Arwah juga berhasrat untuk mengadakan kenduri di Kuala Kangsar dan mahu menjemput rakyat menghadiri majlis itu. Beliau cadang nak sajikan makanan kampung kepada tetamu.
“Namun sayangnya hajat beliau tidak kesampaian. Datuk sangat sayangkan Kuala Kangsar dan Perak, pada dia Perak is the best,” katanya.
Menurut Mastura, beliau perlu memikirkan semula tarikh majlis perkahwinan anaknya yang telah ditetapkan sebelum ini selepas insiden yang melibatkan suaminya.
“Saya akan berbincang semula mengenai tarikh perkahwinan dengan keluarga bakal isteri anak saya, mungkin buat majlis pernikahan dahulu dan majlis resepsi tahun depan,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu meninggalkan empat anak lelaki, Wan Emir Astar, Wan Imar Izat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Amar.
Wan Mohamamad Khair-il merupakan antara enam mangsa nahas helikopter di Kuching, Khamis lalu. – MYNEWSHUB.CC

