PENGARAH Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zaidi Yazid dilaporkan hilang sejak 30 April lalu.
Kehilangannya itu menjadi viral di media sosial selepas anak perempuannya memuat naik status di Facebook memohon bantuan orang ramai mencari bapanya yang hilang.
Menerusi status Facebook anaknya, Zaheera Zaidi, bapanya dikatakan keluar dari rumah di Seksyen 4, Bangi pada jam enam petang.

“Minta bantuan kawan-kawan semua. Kalau ada terjumpa ayah tersayang saya mohon hubungi saya. Last saya jumpa (bapa) Sabtu 30 April jam enam petang. Dia keluar rumah jam enam petang 30 April dan katanya nak tidur di INTAN Bukit Kiara,” katanya.
Kehilangan Zaidi disahkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mahdzir bagaimanapun meminta agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehilangan tersebut sehingga polis memaklumkan sebarang perkembangan susulan.
“Saya ambil maklum kebimbangan keluarga Pengarah BTP, Encik Zaidi Yazid mengenai keselamatan beliau pada ketika ini ekoran tidak menghubungi keluarga atau rakan-rakan semenjak semalam (pagi Ahad).
“Difahamkan laporan polis telah dibuat oleh keluarga beliau petang tadi. Sama-sama kita berdoa agar beliau selamat ditemui atau pulang ke pangkuan keluarga. InshaAllah,” tulis beliau menerusi laman Facebook.
Laporan kehilangan Zaidi dilaporkan di Balai Polis Bandar Baru Bangi dan kes ini disiasat di bawah kategori orang hilang. – MYNEWSHUB.CC

