KUANTAN – Polis menahan seorang anggota geng kongsi gelap 77 bersama isteri dan seorang pekerjanya selepas menemui sepucuk pistol jenis Magnum .22 USA serta sebutir peluru di rumahnya di Taman Balok Makmur dekat sini, malam tadi.
Selain itu polis turut merampas dua biji pil kuda, kelongsong peluru, komponen pistol dan beberapa barangan tertera logo dipercayai lambang kongsi gelap.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang melakukan serbuan pada 8.30 malam selepas menerima maklumat awam berhubung satu kes pengedaran dadah.
Katanya semasa serbuan, kontraktor berusia 32 tahun yang berasal dari Kemaman, Terengganu, isterinya berumur 30 tahun dan pekerjanya berusia 25 tahun dari Kelantan, ada di dalam rumah, bagaimanapun mereka tidak melawan atau cuba melarikan diri ketika ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan rumah tersebut membawa kepada penemuan senjata api dan barangan lain yang dirampas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata Sharifuddin, hasil siasatan, suspek mengaku memiliki pistol itu sejak lima bulan dan mendakwa ia sekadar hobi selain untuk menjaga keselamatan diri.
Beliau berkata suspek mendakwa membeli pistol tersebut dari negara jiran dengan harga RM2,600 dan baru sekali melakukan tembakan bagi mengujinya.
“Semakan awal mendapati tiada sebarang maklumat yang menunjukkan suspek pernah menggunakan pistol tersebut untuk sebarang kegiatan jenayah. Lelaki terbabit juga mengakui menganggotai kumpulan kongsi gelap 77 bagaimanapun penglibatannya sekadar suka-suka dan tidak aktif,” katanya.
Sharifuddin berkata mereka kini ditahan reman selama seminggu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.
“Hasil semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing lelaki itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Panalti Lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Sharifuddin berkata suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan rampasan dua biji pil kuda dan jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

