ISTANBUL – Malaysia dan Turki bersetuju bahawa masalah ekstremisme dan ancaman keganasan perlu ditangani secara serius dan memerlukan pertukaran risikan dalam menangani isu itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Turki, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13, telah meminta kerjasama lebih erat daripada semua pihak bagi menangani isu global itu.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, di luar Sidang OIC itu di sini hari ini.
Selain itu, katanya beliau turut mengucapkan simpati Malaysia kepada Erdogan berikutan kejadian bom angkara pihak pengganas di Istanbul dan Ankara, baru-baru ini.
Katanya Malaysia turut meminta Turki, selaku pengerusi baharu OIC itu, supaya turut memberikan perhatian kepada isu-isu yang berlaku di rantau Asia Tenggara seperti isu pelarian Rohingya dan isu keselamatan di selatan Filipina.
“Sekiranya keadaan keselamatan di kawasan tersebut tidak berubah, kejadian pencerobohan dan penculikan ke atas rakyat Malaysia akan terus berlaku,” katanya.
Mengenai isu pelarian Rohingya, Najib berkata Malaysia kini menerima lebih 60,000 pelarian itu dan berharap isu itu turut ditangani bersama OIC.
“Selagi masalah ini tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan Myanmar untuk dicari penyelesaian jangka panjang, maka perkara ini akan terus jadi masalah kemanusiaan, ini juga masalah ummah dan OIC perlu jadikan soal ini satu perkara yang diperjuangkan,” katanya.
Persidangan OIC peringkat Ketua-Ketua Negara itu bermula hari ini dengan disertai para pemimpin Islam dari 57 buah negara.
Persidangan itu memfokuskan kepada perbincangan mengenai isu berkaitan perpaduan ummah, Islamophobia, ancaman kumpulan militan dan isu Palestin. – BERNAMA

