WASHINGTON DC – Pasukan biologi haiwan liar Amerika Syarikat (AS) terpaksa menyelamatkan seekor singa betina yang entah bagaimana ‘terdampar’ di tiang kabel telefon awam di Polson, Montana dekat sini baru-baru ini.
Singa gunung tersebut didapati seperti sudah putus asa apabila hanya mampu mendiamkan diri sahaja dan binatang buas itu turut tidak mampu bergerak untuk turun kembali ke tanah, menurut laporan media tempatan.
Dalam video aksi dramatik penyelamatan haiwan liar itu, singa tersebut seperti menempel di atas puncak tiang dan peristiwa berkenaan dilaporkan terjadi pada Rabu minggu lalu, di kawasan dekat Taman Negara Flathead.
Petugas harus menembak haiwan itu dengan damak ubat penenang dan seseorang menghampiri singa di atas tiang itu dengan menggunakan sebuah ‘lift bucket’ atau raga lif yang biasa digunakan pekerja kren atau bomba.


Singa besar itu, seperti dilaporkan laman berita UPI.com, sempat bergerak setelah ditembak dengan jarum bius, namun binatang tersebut kemudian jatuh tergelincir sebelum orang di dalam ‘lift bucket’ mampu menjangkaunya.
Menurut kenyataan petugas tempatan, mereka tidak pula menyatakan berapakah ketinggian tiang kabel telefon yang nampak menjulang lebih tinggi daripada pohon-pohon liar di sekitar kawasan taman hutan tersebut.
Dalam operasi khas tersebut yang turut disertai pasukan polis dan pelbagai agensi tempatan, syarikat utiliti tenaga elektrik Mission Valley Power terpaksa memotong sementara bekalan kuasa kepada penduduk sekitarnya.
Singa gunung ini tidak luka meskipun jatuh dari ketinggian malah dalam keadaan tidak sedarkan diri, haiwan itu sempat lagi diangkat oleh petugas kecemasan dan kemudian dilepaskan kembali ke habitatnya pada keesokan hari.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA