BATU GAJAH – Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenaan menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada 114 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf bagi 2015 dan 2016 di sini.
Mereka terdiri daripada pelajar cemerlang Tingkatan Satu, Tingkatan Dua, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Tingkatan Empat dan Tingkatan Enam Rendah.
Raja Permaisuri Perak turut menyampaikan hadiah kepada 49 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta anugerah ikon kokurikulum, ikon kurikulum serta tokoh kepimpinan SMK Sultan Yussuf bagi 2014 dan 2015 kepada enam pelajar.
Pada majlis itu, Mohamad Solehin Zulkarnain, 19, dipilih sebagai penerima Anugerah Diraja 2016 Pingat Emas Sultan Azlan Shah kerana kecemerlangannya dalam kepimpinan, kurikulum dan kokurikulum.
Beliau kini melanjutkan pengajian di Kolej Perubatan Diraja Perak, Universiti Kuala Lumpur dalam jurusan Diploma Fisioterapi.
Sementara itu, Ahmad Khusyairi Abdul Razak, 19, terkejut dengan pemilihannya sebagai penerima anugerah Ikon Kokurikulum 2014 dan 2015.
Beliau yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Diploma Sains Sukan, pernah mengharumkan nama Perak dalam Sukan Malaysia 2012 dan 2014 dengan merangkul pingat gangsa dalam acara menembak.
“Tahun ini saya akan sekali lagi mewakili Perak ke Sukan Malaysia di Sarawak dalam acara menembak dan meletakkan sasaran untuk merangkul emas,” katanya. – BERNAMA