KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan secara terang-terangan berbohong kepada rakyat apabila mendakwa berpuluh-puluh ribu orang menyertai perhimpunan anti-kerajaan di ibu negara pada 2 April lalu.
Pemimpin tertingginya, Mohamad Sabu atau lebih popular dengan gelaran Mat Sabu mendakwa, jumlah begitu ramai rakyat Malaysia menyertai perhimpunan berkenaan menunjukkan bahawa sistem negara ini perlu diubah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras menjayakan Himpunan Undur Najib Mansuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka anjuran Pakatan Harapan.
“Penghargaan tertinggi tentunya kepada puluhan ribu rakyat yang sanggup turun menyatakan bantahan biarpun terpaksa bertahan dalam cuaca panas hampir empat jam. Kehadiran yang memuaskan ini menandakan rakyat mahu Perdana Menteri ditukar dan sistem negara ini diubah,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dakwaan Mat Sabu itu jauh melencong berdasarkan tinjauan mynewshub.cc dan media lain yang membuat liputan perhimpunan berkenaan pada 2 April lalu kerana mendapati cuma kira-kira 1,000 orang menyertai itu.
Malah, media propembangkang yang berusaha sehabis baik menonjolkan kepada pembacanya kononnya ramai orang menyertai perhimpunan berkenaan pun cuma mampu meletak angka seramai 2,000 orang sahaja.
“Kami memohon maaf di atas segala kekurangan yang berlaku dan akan cuba mengatasinya pada masa akan datang,” kata Mat Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (PAN). – mynewshub.cc

