KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak diminta tidak mempolitikkan isu dana RM19 juta kepada Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baru (Naam) yang bertujuan melatih dan melahirkan usahawan belia dalam kalangan kaum India di negara ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika pihak berkenaan merasakan terdapat sebarang unsur penyalahgunaan kuasa, mereka boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat, mereka (pembangkang) tak perlu mempolitikkan perkara ini dan menyalahkan Naam, sebaliknya mereka perlu memberi perhatian kepada negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka.
“Jika mereka tidak berminat dengan projek pertanian, saya cadangkan mereka untuk membangunkan projek perumahan mampu milik yang dijual di bawah harga pasaran secara besar-besaran,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek perintis cili fertigasi di sini, semalam.
Baru-baru ini, satu laporan mendakwa berlakunya konflik kepentingan berhubung pemberian dana untuk program penanaman cili di bawah Naam yang dipengerusikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.
Saravanan yang turut menyertai lawatan itu, berkata dana tersebut digunakan pada 2014 untuk tujuan latihan belia, manakala Kementerian Belia dan Sukan hanya memainkan peranan sebagai pemantau bagi memastikan program berkenaan berjalan mengikut perancangan.
“Saya cuma mahu nyatakan di sini bahawa akaun Naam diaudit oleh Kementerian Belia dan Sukan, dan kami sendiri melakukan audit dalaman dan luaran kepada yayasan kami, jadi dari segi ketelusan memang tiada isu,” katanya.
Beliau berkata tujuan utama Naam adalah untuk membantu golongan belia dengan memberi latihan kemahiran dalam bidang kegemaran mereka.
“Jika dilihat hari ini, projek fertigasi cili kita contohnya, berjaya membuka peluang baharu kepada golongan belia dan kami berharap supaya projek ini mampu membuka mata golongan belia untuk menceburi bidang pertanian,” katanya. – BERNAMA