GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes cubaan merompak dengan meletupkan mesin deposit tunai di sebuah bank di Bayan Baru di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata dua lelaki berusia 25 dan 30 tahun itu ditahan secara berasingan di kawasan Air Itam, di sini kira-kira pukul 9 malam tadi.
“Dua lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai along,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu, seorang lelaki gagal melarikan wang dalam mesin itu apabila letupan akibat bahan letupan buatan sendiri itu tidak dapat memecahkan peti besi yang menyimpan wang berkenaan. – BERNAMA

