IPOH – Sebanyak 500,000 pelancong antarabangsa disasar mengunjungi Perak sempena Tahun Melawat Perak 2017 (TMP 2017), kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata beliau optimis sasaran itu mampu dicapai memandangkan tahun lepas Perak menerima antara 300,000 hingga 400,000 pelancong asing.
“Sasaran kita ialah pelancong dari ASEAN, Eropah, China serta Singapura,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan TMP 2017 di Dataran Keretapi Tanah Melayu Berhad di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Perak akan melakukan penambahbaikan prasarana pelancongan selain pengisian produk sedia ada.
Beberapa masalah terutama membabitkan kemudahan asas, kebersihan, sistem telekomunikasi serta tandas awam dikenal pasti untuk dibaiki, katanya.
“Saya telah mengarahkan pihak bertanggungjawab supaya menyelesaikan isu berkenaan dengan kadar segera bagi memberi keselesaan kepada pelancong yang datang ke negeri ini.
“Saya juga telah memaklumkan kepada semua pihak berkuasa tempatan serta Tourism Perak supaya memastikan negeri ini bersih dari semua sudut memandangkan masalah kekotoran seringkali mendapat rungutan,” kata Zambry.
Beliau berkata sistem pengangkutan awam juga akan ditambah baik penting untuk membawa pelancong ke sesuatu destinasi.
“Kita akan pastikan sebarang masalah pengangkutan dapat diselesaikan dengan segera termasuk kemudahan kereta, kereta api serta laluan udara,” tambahnya. – BERNAMA
