MASIH ingat pada Siti Nuraisyah Sahrin, 13; atau lebih dikenali sebagai Ecah yang putus kedua-dua belah kaki akibat digilis lori dalam kejadian tragis 18 Januari lalu?
Selepas mendapat rawatan secukupnya, Ecah kembali semula menyambung pelajarannya di sekolah semalam.
Ecah hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dengan ditemani oleh ibunya Mimunah Md Razali, 48 dan bapa tiri Roslan Sardi, 40 setelah hampir dua bulan dirawat di Hospital Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Ketibaan Ecah di sekolah pada pukul 7.15 pagi disambut rakan-rakan sekelas dan guru di tapak perhimpunan, membuatkan dia berasa gembira dan terharu.

Demi memudahkan pergerakan Ecah, bapa tirinya telah mengupah seorang pembantu dan pemandu yang akan membantu dan menghantar serta mengambilnya dari sekolah setiap hari.
Ini kerana Ecah dikatakan belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan keadaan fizikalnya sekarang.

Menurut bapa tiri Ecah lagi, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan peguam mereka berkaitan bayaran kepada kedua-dua pembantu anaknya itu.
Ekoran daripada kejadian pahit yang menimpa Ecah, kedua-dua orang tuanya tidak lagi membenarkan anak-anak mereka menaiki motosikal ke sekolah. –MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=N18zKAeKg_k]

