KLANG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran sepanjang fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.
Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pihaknya dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan mengawasi jumlah bekalan ikan di pasaran dan mengeluarkan bekalan ikan sejuk beku sekiranya terdapat kekurangan sumber protein itu.
“Tindakan ini perlu bagi menstabilkan harga ikan di pasaran negara serta menyekat peniaga menaikkan harga ikan sewenang-wenangnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Free Market’ anjuran Majlis Belia Selangor di sini hari ini.
Irmohizam yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata walaupun pihaknya menerima aduan berlakunya penurunan jumlah tangkapan ikan di Selat Melaka, kadar tangkapan di kawasan lain seperti di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur masih kekal pada tahap normal.
Dalam pada itu, Irmohizam berkata beliau berharap MyFarm Outlet kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat dibuka di seluruh negara secepat mungkin.
Katanya konsep pasar itu yang melibatkan hasil pertanian dijual secara terus oleh petani mampu membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
“MyFarm Outlet ini jika diluaskan saya percaya boleh mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna yang mahu barangan segar dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Mengulas mengenai program Free Market, Irmohizam berkata program berkenaan akan diperluaskan ke seluruh Selangor dengan tumpuan kepada kawasan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana. – BERNAMA
