GEORGETOWN – Pulau Pinang merekodkan sebanyak 1,385 kes demam denggi sehingga 12 Mac lepas, peningkatan 82 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata daripada jumlah itu, sembilan kematian dilaporkan tahun ini berbanding hanya lima pada tahun lepas.
“Terdapat tujuh wabak terkawal dilaporkan di lokaliti flat Bukit Gedong di daerah Barat Daya, Kampung Manggis, Sungai Puyu di Seberang Perai Utara serta Taman Emas, Alma Estate, Kampung Permatang Batu dan Kampung Paya di Seberang Perai Tengah.
“Terdapat satu wabak tidak terkawal iaitu di lokaliti flat Siakap di Seberang Perai Tengah dan satu tompok panas di lokaliti perkampungan Permatang Tinggi di Seberang Perai Tengah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan terus mengambil langkah pencegahan bagi menghentikan penularan wabak denggi seperti melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar masing-masing bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu.
Dr. Afif berkata masyarakat juga diharap memberikan kerjasama membenarkan petugas kesihatan menjalankan semburan kabus dalam rumah, di samping mendapatkan ubat pembunuh jentik-jentik nyamuk di klinik kesihatan kerajaan. – BERNAMA