KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah tindakan polis Malaysia menghalang media asing melemparkan soalan berbaur provokasi ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Kuching, Sarawak.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang memetik laporan The Sydney Morning Herald mendakwa, kru media asing dari Australia ABC terbabit tidak sepatutnya dihalang daripada melemparkan apa sahaja soalan ke atas seorang Perdana Menteri Malaysia.
“Saya mengecam penangkapan ini. Ini merupakan satu serangan hebat ke atas kebebasan media dan kebebasan bersuara. Mereka tidak patut ditahan kerana mereka ingin menanyakan soalan kepada Perdana Menteri,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
The Sydney Morning Herald dalam satu laporannya hari ini mendakwa kru Four Corners dari Australia ABC ditahan di Malaysia tetapi telah dibebaskan.
The Sydney Morning Herald bagaimanapun mendakwa Australia ABC tidak mahu mengesahkan siapa kru yang ditahan tersebut namun ia dipercayai wartawan Linton Besser.
“Besser tidak memberi respons ke atas panggilan telefon dan emel,” lapor The Sydney Morning Herald.
The Sydney Morning Herald diketahui umum sebuah media antarabangsa yang sering melaporkan perkara-perkara negatif tentang umat dan negara Islam.
Terbaru, kolumnisnya, Paul Sheehan mengutuk Presiden Perancis, Francois Hollande kerana menyatakan serangan pengganas di negara itu baru-baru ini tiada kaitan dengan Islam.
“Komen beliau tidak masuk akal. De facto perang dunia sedang dijalankan dan segala-galanya berkaitan dengan Islam.
“Ia bukan tindakan yang tidak Islamik. Ia melibatkan ribuan muslim yang bertindak di atas kepercayaan adalah menjadi tanggungjawab mereka menumpaskan mereka yang tidak beriman seperti digariskan dalam Al-Quran,” tulis Paul Sheehan. - MYNEWSHUB.CC

