TEMERLOH – Seekor gajah jantan yang dikesan di hutan berhampiran Kampung Desa Bakti, Jalan Karak, Mentakab, Isnin lalu, berjaya ditangkap dan dihantar ke Taman Negara Tasik Kenyir, Terengganu hari ini.
Ketua Unit Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Nasharuddin Othman berkata gajah berusia 32 tahun seberat lebih tiga tan itu yang dikesan kumpulan anggota Perhilitan dan Unit Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, adalah daripada kumpulan lima ekor gajah liar yang menceroboh masuk kampung Desa Bakti minggu lepas.
“Setelah hampir seminggu menjejak haiwan berkenaan, anggota Perhilitan berjaya menjejak dan menembaknya dengan menggunakan ubat pelali pagi tadi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata 25 anggota agensi berkenaan kemudian terbabit dengan operasi pemindahan gajah jantan itu, dibantu dua ekor gajah denak ‘Kala’ dan ‘Rambai’ yang didatangkan khas dari Pusat Konvervasi Gajah Kuala Gandah, Lanchang untuk mengiringi gajah jantan itu ke dalam lori besar.
Operasi pemindahan gajah jantan itu mengambil masa lebih dua jam bermula dari pukul 10 pagi sehingga 12.45 tengah hari, katanya.
Nasharuddin berkata gajah itu terpaksa ditangkap setelah beberapa kali memasuki kawasan kampung tersebut sejak Julai lalu.
“Haiwan berkenaan kebiasaannya akan kembali memasuki kampung setelah mudah mendapat makanan dan ini boleh membahayakan penduduk kampung jika dibiarkan,” katanya.
Beliau berkata kos untuk setiap kali pemindahan seekor gajah mencecah sehingga RM60,000.
Sementara itu Nasharuddin yang lebih 20 tahun berpengalaman dan pakar dalam menangkap dan memindah gajah, berkata haiwan liar terutamanya harimau, gajah dan beruang akan ganas serta berbahaya jika tercedera dan kadang kala boleh membunuh.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar tidak mencederakan sebarang binatang liar sebaliknya melaporkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Mengenai baki kumpulan gajah liar itu, beliau memberi jaminan pihaknya akan sentiasa memantau perkara itu, bagaimanapun kumpulan haiwan tersebut dipercayai telah kembali ke kawasan hutan habitat asalnya di Hutan Kemasul, dekat sini. – BERNAMA

