KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada Pengarah-Pengarah Negeri SSM untuk diagihkan di peringkat negeri masing-masing dalam majlis penyerahan zakat kepada golongan asnaf dan fakir miskin, pada Khamis.
Majlis yang diadakan di perkarangan Menara SSM itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin dan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner.
Penyerahan zakat perniagaan ini sekaligus mencerminkan bahawa SSM yang ditubuhkan pada 2002 tidak hanya sebuah agensi di bawah KPDNKK yang memfokuskan kepada hal-hal pentadbiran dan operasi semata-mata, sebaliknya turut menitikberatkan hal-hal berkaitan kebajikan.

“Bagi meneruskan kesinambungan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pada hari ini SSM buat julung kalinya memperuntukkan sejumlah zakat untuk diagihkan ke seluruh negara melalui pusat zakat yang diiktiraf oleh Majlis Agama Negeri di Malaysia.
“SSM berharap pengagihan zakat kepada 13 pengarah negeri dan seorang wakil dari ibu pejabat yang dipertanggungjawabkan ini dapat membantu golongan memerlukan,” ujar Zahrah dalam ucapannya.

Pada majlis sama, Hamzah mengucapkan tahniah kepada pihak SSM dan mengharapkan agensi-agensi lain turut mengikut inisiatif yang dijalankan oleh SSM.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada SSM kerana sentiasa ke hadapan dalam pelbagai perkara. Kalau menyentuh mengenai tentang sistem penyampaian perkhidmatan, saya percaya SSM kini telah jauh ke hadapan.
“Saya rasa SSM setara dengan syarikat-syarikat Korporat atau GLC di luar sana yang tidak pernah jemu memberikan pertolongan kepada golongan memerlukan.
“Saya melihat inisiatif sebegini merupakan amalan mulia yang harus dicontohi oleh pelbagai pihak termasuk agensi-agensi di bawah KPDNKK yang lain, juga agensi-agensi kerajaan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, SSM turut mengumumkan program SSM’s TOP Chef Cooking Challenge bagi mencungkil bakat baru dan kemahiran terpendam dalam bidang masakan di kalangan ahli kelab SSM.
Objektif program ini adalah meningkatkan kemahiran bersosial di samping mengeratkan silaturrahim di antara ahli kelab.
Selain itu, Hamzah turut melancarkan Bas Kaunter Bergerak SSM yang dikenali sebagai Ez Biz On The Go yang akan digunakan untuk melancarkan lagi proses pendaftaran perniagaan. – MYNEWSHUB.CC

