KUALA LUMPUR – Seorang ibu bersama bayi lelakinya berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai, Ampang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, Norzaimah Azizi, 29, seorang pegawai bank di Ampang dan bayinya, Eshan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggang suami mangsa Mohamad Azmeer Alfaiedz Abd Aziz, 32, dipercayai cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya ketika menuruni bukit dari arah Jalan Bukit Permai.

“Ketika cuba mengelak, motosikal ditunggang Mohamad Azmeer terbabas menyebabkan isteri serta bayinya tercampak ke bawah lereng bukit.
“Mohamad Azmeer hanya cedera ringan manakala mayat isteri dan bayinya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.
Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Mohd Nizam, 30, abang kepada Norzaimah, berkata ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan ke klinik untuk mendapatkan rawatan anak mereka yang demam.
“Selalunya mereka akan bawa kereta, tetapi hari ini mereka naik motosikal, mungkin kerana klinik itu dekat dengan rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Kuala Lumpur.
Mohd Nizam berkata adiknya itu merupakan anak keempat daripada 10 beradik, dan sentiasa ceria serta disenangi ramai.
Beliau berkata jenazah Norzaimah dan bayi lelakinya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai, Ampang. – BERNAMA

